Thursday 17 April 2014

Makanan tradisional di saba... - Blog Makanan di Sabah - Blogger - Blog Makanan di Pahang

<b>Makanan tradisional di</b> saba... - Blog <b>Makanan di</b> Sabah - Blogger - Blog Makanan di Pahang


<b>Makanan tradisional di</b> saba... - Blog <b>Makanan di</b> Sabah - Blogger

Posted: 10 Apr 2014 03:50 AM PDT


MAKANAN DAN KESENIAN TRADISIONAL

ORANG-ORANG RAO DI RAUB, PAHANG

Oleh: Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi, BCOMM (UPM),

ABSTRAK

Makalah ini bertajuk "MAKANAN DAN KESENIAN TRADISIONAL ORANG-ORANG RAO DI RAUB, PAHANG". Tulisan secara semi akademik ini cuba menggunakan metode Perbandingan antara jenis-jenis makanan tradisional Rao dan jenis-jenis kesenian Rao yang masih wujud di Rao, Sumatera Barat dan di daerah Raub, Pahang. Diharapkan supaya tulisan ini sebagai pembuka jalan ke arah pihak-pihak yang berminat terutama anak-anak Raub berketurunan Rao Persemendaan dapat meneruskan usaha kaji selidik perihal makanan dan kesenian orang-orang Rao. Misalnya dari segi makanan membabitkan Baulu Cermai, Kelamai, Dodoi Kukus, Gulai Rebus, Gulai Darat, Gulai Keladi Kemahang, Gulai Nangka, Gulai Pisang Muda, Gulai Umbut Kabung dan lain-lain, manakala kesenian pula ialah Tari Piring, Tari Lukah, Tari Pedang, Tari Tandak, Silat Pulut, Ratib Tegak dan lain-lain yang hanya menggunakan peralatan bunyi-bunyian seperti tetawak, gendang ibu, gendang anak, rebana, seruling, akordion dan biola.

( Dibentangkan di Seminar Tokoh-Tokoh Rao Raub, Pahang pada 25 November 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Gali, Raub Pahang )

PENDAHULUAN

            Memerihalkan mengenai Raub, Masyarakat Rao yang mendominasinya dan menampilkan pelbagai jenis Makanan Tradisional Rao dan Kesenian Tradisional Rao yang telah di bawa oleh nenek moyang mereka sejak abad ke 15 lagi ( merujuk kepada Institusi Seri Maharaja Perba Jelai yang memerintah Hulu Pahang pada awalnya berpusat di Budu, Penjom dan kemudian berpindah ke Bukit Kota, Bukit Betong, Kuala Lipis yang asal keturunan dari Pagarruyung. Mereka telah datang ke Hulu Pahang sekitar tahun 1591 Masihi. Nama kampung asal Seri Maharaja Perba Jelai di Pagarruyung ialah Titi Kabung Pagar Teras )iaitu dari Ranah Minangkabau, Sumatera bukan satu kerja penulisan yang mudah kerana ia memerlukan kaji selidik di lapangan di samping merakam temu bual pelbagai sikap kedudukan setiap orang yang perlu ditemui. Oleh itu bagi kegunaan Seminar ini saya mengambil jalan tengah iaitu dengan membuat perbandingan setiap jenis makanan tradisional dan kesenian tradisional Rao itu yang telah diamalkan sejak abad ke-2 lagi hingga ke masa ini di Rao, Sumatera Barat ( kini dikenali sebagai Kabupaten Pasaman yang menjadikan Lubuk Sikaping sebagai Pusat Pentadbirannya).. Perlu disebutkan di sini bahawa ada petunjuk yang jelas bahawa orang-orang Rao dari Bukit Barisan, Sumatera itu telah pun diriwayatkan berkelana ke Semenanjung Emas ini sejak abad ke-5 lagi.

ASAL USUL NAMA RAUB

            Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Raub. Perkataan Raub dalam Bahasa Melayu bermaksud 'genggam'. Mengikut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraup emas pada setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh J.A. Richardson dalam bukunya, The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub Pahang. Menurutnya; "People found that for every "dulang" of sand there was a handful (raup) of gold".

Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.

Terdapat satu lagi versi cerita yang menjelaskan asal usul nama Raub ini. Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke-18. Mengikut sumber-sumber yang diperoleh, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tobek (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya disekat atau digelar empang).

Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Kelihatan pasir di kiri dan kanan tebat itu amat bersih. Kedua-dua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya.

Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebat untuk dijadikan makanan. Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebat itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperoleh. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya; hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercayai mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB". Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebat yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir daripada kata dasar "Raup" sedangkan "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan RAUB dari 'Raup'.

Terdapat juga pendapat yang terpencil yang menyatakan asal usul nama Raub adalah berasal daripada perkataan Rao kerana suku kaum Rao telah mendominasi jumlah penduduk di kawasan terbabit sehingga digelar sebagai 'lubuk orang Rao'. Oleh kerana peredaran masa, sebutan perkataan Rao itu telah bertukar menjadi Raub.

Saya salah seorang yang berani menafikan bahawa nama panggilan asal Raub itu daripada 'Meraup' emas kerana walaupun banyak emas di kawasan berair dan berpasir di Raub tetapi tidak benar bila meraup pasir itu kelihatan banyak emas dari pasir kerana bijih emas ini perlu melalui proses tertentu untuk menjadikannya sebagai logam 'Emas'.

Apa yang saya yakini bahawa diriwayatkan ada dua orang, seorang Pakar Geologi dari Jerman dan seorang lagi Pakar Mineral dan Logam dari Amerika Syarikat yang mula-mula tiba di sebuah kawasan yang diberi nama Rotan Tunggal. Kedua pakar ini seronok melihat ramai orang-orang yang sedang mendulang di sebuah kawasan berpaya ( kawasan padang bersetentang dengan Pejabat Majlis daerah Raub sekarang ). Lalu salah seorang daripadanya bertanya kepada yang menjadi Ketua kepada pendulang-pendulang itu, siapakah orang-orang yang sedang mendulang itu.

Lalu diberitahu oleh Ketua pendulang itu bahawa orang-orang yang mendulang itu sebagai Orang-orang Rao ( sebutannya 'Raau' ). Maksudnya pendulang-pendulang emas itu adalah orang-orang yang datang dari Rao, Sumatera. Lalu pakar dari Amerika Syarikat itu menyampuk mengatakan bahawa di Indiana di tempatnya juga telah ada pekan dinamakan dengan Raub kerana ramai hamba yang dibawa daripada Sumatera iaitu orang-orang Rao. Sejak itulah panggilan Raub itu digunakan hingga menghilangkan nama asal tempat itu sebagai Rotan Tunggal. Oleh itu saya berkeyakinan bahawa nama Raub itu berpunca daripada orang-orang Rao yang mendulang emas di kawasan paya di samping telah membuka kampung seperti Rotan Tunggal, Taranum dan Kalang.

            Daerah Raub kini adalah salah sebuah dari 11 buah daerah yang terdapat di Pahang. Daerah Raub terdiri daripada tujuh buah mukim iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali dan Tras. Raub mempunyai 57 buah kampung tradisional dan 9 buah kampung baru Cina . Raub berlokasi di sebelah barat negeri Pahang dan keluasannya ialah 2,271 kilometer persegi, iaitu 6.34% daripada keluasan Pahang (35,823 kilometer persegi). Raub terletak antara dua buah banjaran, iaitu Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Gunung Benom. Ketinggian Raub adalah 160 meter dari atas paras laut dengan purata suhu tahunan 79.5ยบ dan hujan tahunan kira-kira 200 sentimeter. Jarak Raub dengan Kuala Lumpur hanya 130 kilometer dan hanya akan mengambil masa 1½ jam untuk sampai ke bandar Raub melalui Lebuh raya Kuala Lumpur Karak dan memasuki dan melalui Jalan Laluan Lapan..

MASYARAKAT RAO DI RAUB

            Penduduk di daerah Raub ketika ini sebagaimana angka banci 2010 terdiri daripada Melayu seramai 95,100 orang iaitu mendominasi 55 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk., Orang Cina pada kadar 33 peratus manakala orang India pada kadar 7 peratus. Bakinya terdiri dari lain-lain suku bangsa. Dari sebanyak 95,100 orang Melayu dalam daerah Raub, dianggarkan kira-kira 33,000 orang terdiri daripada suku Rao Sejati manakala 43,000 terdiri daripada Rao Persemendaan dengan Minang, Jawa, Kampar, Banjar, Kerinci dan Aceh menjadikan Raub sebagai Lubuk Orang-orang Rao ( Rawa ) selepas Gopeng di Perak.

            Oleh itu di kalangan Orang-orang Rao dan persemendaan ini bukan sahaja sebagai pengamal Agama Islam mazhab Sunnah Wal Jemaah, tetapi mereka memiliki jenis-jenis makanan yang khas ciri-ciri Rao di samping kesenian yang khas ciri-ciri Rao, walau bagaimanapun disebabkan landskap budaya yang pengaruh mempengaruhi, telah berlaku pengubahsuaian terhadap jenis-jenis makanan dan jenis-jenis kesenian Rao itu sendiri.

MAKANAN TRADISIONAL RAO DI RAUB

            Dalam tulisan ini ingin saya senaraikan Makanan Tradisional Rao yang masih wujud di Ranah Rao, Pasaman, Sumatera dan dibandingkan dengan senarai Makanan Tradisional Rao yang masih menjadi menu makanan Orang-orang Rao Persemendaan di Raub, iaitu:

Bil.

Nama Makanan Tradisional Rao di Rao, Pasaman

Nama Makanan Tradisional Rao di Raub

1

Masak Asam Ikan Keli

Gulai Asam Ikan Kalang / Keli / Puyu

Anyang Botik

3

Gulai Birah

4

Gulai Botik

Gulai Betik Muda

5

Gulai Lomak Rebung

Gulai Lemak Rebung

6

Lasiak Tutuk

7

Rondang Pakih

Pindang Pucuk Paku

8

Asam Lauk

9

Pongat Masin

Pengat ( Ubi Kayu, Ubi Keladi, Kemili, Labu, Pisang )

10

Kueh Gelamei Buloh ( 3 Jenis )

Kelamai

11

Goring Bolut

Goreng Belut

12

Goring Ikan Sepat Ronggeng

Goreng Ikan Sepat Ronggeng

13

Pulut Kontang Dengan Kelapa Mudo

Nasi Pulut dimakan bersama kelapa parut dan ikan masin

14

Gulai Rampai (Rimbang, Jantung Pisang, Pucuk Ubi)

Gulai Rampai - Jantung pisang, pucuk ubi, terung pipit, pucuk paku, terung telunjuk, ubi keledek, petai, dan dauk kaduk ( diperasakan dengan asam tempoyak atau asam rong.)

15

Masak Asam Kobau/Daging/Khosa

Gulai Rebus ( Jantung, Paru, Limpa, Perut, Hati, Daging, Usus Kerbau/Lembu )

16

Gulai Pisang Mudo

Gulai Lemak Pisang Emas / Pisang Nangka

17

Gulai Korumbia Mudo

18

Gulai Duda Bulong Gadung

19

Gulai Lomak Nangko

Gulai Lemak Nangka

20

Samba Karumbia

21

Ponget Lauk

22

Asam Roruong

23

Sagun-sagun

Sagun

24

Ulom Sayur

Ulaman ( Pegaga, Serai Kayu, Ulam Raja, Daun Kaduk, Daun Mengkudu, Daun Putat, Daun Tenggek Burung, Daun Sekentut, Salon, dan lain-lain )

25

Robus Ubi / Kolak Ubi

Rebus Ubi Kayu / Rebus Ubi Kemili, Rebus Keledek

26

Kerabu Pakih Dengan Porut

Kerabu Pucuk Paku Dengan Perut / Kerang

27

Kueh Serabai

Kuih Serabai / Lempeng

28

Lopek Gobu

Lepat Pisang, Lepat Ubi Kayu, Lepat Labu

29

Ponget Pisang Abu

Pengat Pisang Kelat Abu / Pisang nangka

Gulai Keladi Kemahang

31

Gulai Siput Sungai

32

Gulai Tempoyak Ikan Patin / Kalang / Baung / Lampam / Kerai / Jelawat

33

Gulai Darat ( Daging Kerbau / Lembu / Kambing )

34

Gulai Asam Rong Ayam kampung

35

Kuih Apam Bokor

36

Masak Sayur Manis Cemperai / Bayam

37

Masak Sayur Manis Kulat Tahun

38

Sambal Hitam ( Lada Burung+Ikan Bilis+Buah Belimbing Buluh yang Rebus ).

39

Sambal Hijau ( Lada Burung+Ikan Bilis+Buah Belimbing Buluh )

40

Sambal Tumis ( Ikan Bilis atau Kerang di campur dengan petai )

41

Pindang Maman / Pucuk Paku

42

Pincuk Bolai / Daun Betik+Bunga Betik / Umbut / Jantung Pisang

43

Cemang Kepayang

44

Bubur Cirit Murai

45

Bubur Kacang

46

Bubur Asyura

47

Serawa Durian ( Di makan bersama nasi pulut )

48

Bubur Pulut Hitam

49

Emping Padi

50

Kekalu ( dari Padi Muda )

51

Lemang ( Pulut, Jagung, Labu )

52

Dodoi ( Termasuk Dodoi Kukus )

53

Baulu Cermai

54

Pulut Kuning

55

Gulai Umbut Kabung / Kelapa / Bayas

56

Gulai Umbut Batang Pisang

57

Kerabu Jangat ( Kulit Kerbau )

KESENIAN TRADISIONAL RAO DI RAUB

            Dalam tulisan ini ingin saya senaraikan Kesenian Tradisional Rao yang masih wujud di Ranah Rao, Pasaman, Sumatera dan dibandingkan dengan senarai Kesenian Tradisional Rao yang boleh ditampilkan untuk dipertunjukkan kepada orang ramai mengikut suasana budaya masyarakat setempat dalam acara-acara adat atau majlis-majlis rasmi baik di peringkat kampung, mukim atau daerah di Raub, Pahang sejak zaman dahulu hingga ke masa kini sebagai ciri khas kesenian tradisional Orang-orang Rao Persemendaan, iaitu:

Bil.

 Nama Kesenian Tradisional Rao di Rao, Pasaman

Nama Kesenian Tradisional Rao di Raub

1

Tarian Rontak Kudo / Onjai

Tari Tandak

2

Seni Tingkah Losung Panjang

Seni Tingkah Lesung

3

Seni Bongsilau ( Kaco Pocah )

Seni Pijak Kaca Pecah

4

Seni Lukah Gilo

Tari Lukah

5

Seni Zikir Rao

Ratib Tegak

6

Seni Bombongan

7

Seni Kobar

8

Seni Kompang

Seni Kompang

9

Seni Tortor

10

Seni Gordang Sembilan

Seni Gendang / Tetawak

11

Seni Musang-Musang

12

Seni Tari Gelombang ( Silat Persembahan / Silat Pulut )

Seni Tari Silat / Silat Pulut

13

Seni Tidor Di Ateh Duri

14

Seni Gamat Pasar Rao / Bodendak

Joget Lambak

15

Seni Tandang Boinei

Seni Berinai

16

Adat Perkahwinan antara Nogori

Adat Perkahwinan Rawa

17

Adat Turun Memandi

Adat Mandi Berlimau

18

Adat Menjojak Tanah ( Pantang Tanah )

Adat Memijak

19

Adat Menjolang Rajo

20

Adat Markusib

21

Adat Melonjong

22

Adat Merpege-pege

22

Adat Onang-Onang

23

Tari Piring

24

Tari Zapin

25

Tari Inang

26

Tari Pedang

27

Adat Merisik ( Nikah Kahwin )

28

Adat Bertunang ( Nikah Kahwin )

29

Adat Berderau / Gotong-royong

30

Adat Melenggang Perut ( Nikah Kahwin )

31

Adat Bertungku ( Nikah Kahwin )

32

Adat Mandi Minyak

33

Seni Silat Bela Diri

KATA PENUTUP

            Kesimpulan yang dapat difikirkan bahawa jenis-jenis makanan tradisional dan kesenian tradisional yang asal dibawa oleh para perantau Rao baik dari Rao mahupun dari Pagarruyung telah melalui evolusi lalu berubah mengikut masa, cita rasa dan suasana budaya masyarakat Rao Persemendaan sejak dahulu hingga ke masa ini. Didapati pengaruhi mempengaruhi antara budaya kehidupan telah merealisasikan satu bentuk budaya Rao Persemendaan yang unik, menarik dan amat perlu dikekalkan dan diamalkan oleh generasi masa kini dan generasi masa depan.

            Akhir kata saya berharap dengan menulis perbandingan antara makanan dan kesenian Orang-orang Rao di Rao, Pasaman, Sumatera Barat dengan Orang-orang Rao Persemendaan di Raub, Pahang bukan sahaja dapat menambah khazanah ilmu pengetahuan mengenai mereka, malah dapat memberi satu pendekatan yang positif dalam Lanskap kehidupan budaya Orang-orang Rao Persemendaan di Raub ini.

TAMAT

DAFTAR PUSTAKA

Datoek Toeah. 1976. Tambo Alam Minangkabau. Pustaka Indonesia. Bukit Tinggi.

Graves, E. E. 2007. Asal-usul Elite Minangkabau Modern. Yayasan Obor Indonesia. Jakarta.

Marsden, W. 2008. Sejarah Sumatra. Komunitas Bambu. Depok.

Muhammad Bukhari Lubis, Mohd. Rosli Saludin, Talib Samat (2009), Rao Di Sana Sini, Jaro Malaysia.

Muhammad Yusof Hashim, Aruna Gopinath ( 1992), Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur 1800 – 1930, Tempo Publishing

Buyung Adil (1972), Sejarah Pahang, DBP

Hasyim Awang (1998) Rumpun Melayu Dispora dalam konteks hubungan Ras. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

Khazin Mohd Tamrin dalam DInamika Adat dan Tradisi Merantau di Alam Melayu dalam adat Melayu serumpun. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

Undri, (2008) Pusat Dokumentasi Informasi Sejarah-Budaya BPSNT Padang. Padang Ekspres
_____ (2004) Konflik Lahan Perkebunan 1930-1960. Padang: Lipi

Zaffuan Haji Manaf (2007) Bingkisan Sejarah Raub: Rao Dan Pagaruyung Dengan Raub dan Pahang. Kuala Lumpur: Anjung Media Resources

Zabidin Haji Ismail (2012), Biografi Tokoh Rao, Persatuan Karyawan Perak

Wikipedia. Ensiklopedi Bebas. http://wikipedia.org.

Blog Urang Rao Raub: http://orangrawa.blogspot.com

BIODATA SUBARI AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Subari bin Ahmad bin Jaafar Ar-Rawi atau lebih dikenali dengan nama penanya Arisel BA dilahirkan pada 11 Ogos 1953 di Ladang Selborne, Kuala Lipis, Pahang. Ayahnya Ahmad ( keturunan Rawa/Banjar) berasal dari Kg Sungai Ruyung, Gali, Raub Pahang, manakala ibunya Kamsah ( berketurunan Rao/Jawa ) berasal dari Kg Temau, Raub, Pahang. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah dari Sekolah Clifford, Kuala Lipis, Pahang.  Beliau antara Graduan Siri Pertama Pembelajaran Dalam Talian (Internet) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula tahun 1999 dan dianugerahkan dengan Bacelor Komunikasi. Beliau kini telah bersara dari Perkhidmatan Kerajaan dan menumpu sepenuh masa membuat kaji selidik dan menulis perihal asal usul dan budaya masyarakat Rao di Raub. Di samping itu beliau menulis sajak, cerpen, rencana dan novel. Menjadi ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Pahang, ahli JARO Malaysia, Subari juga pernah menjadi Setiausaha Agung Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) selama 10 tahun (1983-1993) dan Setiausaha Hari Sastera 1987. Kini beliau sebagai Pegawai Seranta DPMP di samping menganggotai PENA sejak 1972 sebagai ahli biasa.

6c) <b>Makanan</b> tradisiona... - Blog <b>Makanan di</b> Melaka - Blogger

Posted: 13 Apr 2014 09:45 PM PDT


Abstrak

Malaysia terkenal dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya. Aspek tersebut menjadi penyumbang kepada perkembangan pemakanan yang mempengaruhi perpaduan kaum di Malaysia. Objektif utama kajian ini ialah mengenali dengan lebih mendalam makanan yang terkenal antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India selain mengetahui keunikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut. Objektif lain yang turut dikaji adalah berkenaan pemahaman tahap dan perpaduan kaum di Malaysia melalui makanan. Kajian ini menggunakan kaedah soal selidik dalam kalangan masyarakat sekitar Melaka yang terdiri daripada pelbagai kaum. Seramai 30 responden telah dipilih untuk menyertai kajian ini dan berdasarkan maklumat yang diperolehi, hubungan antara tahap perpaduan dan makanan bagi setiap kaum adalah memuaskan. Oleh itu, makanan memainkan peranan yang penting dalam memupuk hubungan yang erat antara kaum utama di Malaysia. Pendedahan mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia perlu dikaji dan diperkemas lagi supaya masyarakat di Malaysia mengetahui tentang makanan dan tidak melupakan makanan-makanan tradisi masyarakat yang ada di Malaysia.

Kata Kunci: perpaduan kaum, makanan tradisi

1.0 PENGENALAN

Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan damai dipenuhi oleh penduduk yang berbilang kaum. Hari ini, kaum Melayu adalah kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 57 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan berketurunan Melayu. Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal dengan sifat peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.

Penduduk Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Tiga kaum terbesar ini mempunyai pelbagai adat dan budaya tersendiri dalam mengeratkan silaturrahim dan menguatkan perpaduan antara satu sama lain. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.

Dalam menyumbang kepada perpaduan kaum, terdapat banyak aspek yang mempengaruhinya seperti cara pemakanan, sambutan perayaan, pemakaian tradisional dan pelbagai lagi. Dalam kajian ini, kami telah memilih untuk mengkaji bagaimana tradisi makanan sesuatu kaum itu dalam menyumbang ke arah perpaduan kaum. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kaum di Malaysia ini mempunyai sejarah tentang makanan tradisional kaum masing-masing. Pada hari ini, makanan bukan penghalang untuk mengeratkan perpaduan sesama kaum. Roti canai, nasi lemak, lontong bukan hanya di makan oleh kaum Melayu, tosei, capati dan roti nan bukan sahaja untuk kaum India, yong tau fu bukan hanya dimakan oleh kaum Cina tetapi tanpa mengira bangsa dan kaum, makanan ini dimakan oleh sesiapa sahaja, bukan mengira Melayu, Cina ataupun India. Jadi sememangnya, pada hari ini, boleh dikatakan makanan tradisi kaum dapat mempengaruhi perpaduan di negara ini.

1.1 Latar Belakang Kajian

Dalam menjalankan kajian ini, lokasi kajian ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan sekitar Melaka. Terdapat 30 orang responden yang telah diplih secara rawak yang terdiri daripada 20 orang pelajar UTeM dan 10 orang awam sekitar Melaka.

1.2 Objektif Kajian

Dalam menjalankan kajian ini, tiga objektif telah ditetapkan untuk dicapai. Pertama, mengenal pasti makanan yang terkenal di antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Kedua, mengetahui keunikan dan daya tarikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut dan ketiga ialah membincangkan bagaimana keunikan makanan tradisi setiap kaum ini mampu untuk membentuk perpaduan antara kaum.

1.3 Kepentingan Kajian

Kajian ini telah dijalankan atas dasar dapat mengenal pasti makanan tradisi tiga kaum terbesar di Malaysia. Kajian ini juga dapat menunjukkan betapa makanan tradisi dapat membentuk perpaduan kaum di Malaysia.

2.0 SOROTAN KAJIAN

"Bagai aur dengan tebing" merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bertitik tolak daripada sikap saling menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".

Kajian terkini oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia mendapati masyarakat pada hari ini tidak lagi menampilkan cirri-ciri perkauman yang kental dalam beberapa aspek kehidupan mereka. Ini tentulah sesuatu petanda yang positif bagi masa depan sebuah negara berbilang kaum di Malaysia. Sikap masyarakat pada hari ini seperti yang diperolehi daripada kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia itu mencerminkan penerimaan mereka yang baik tanpa prejudis terhadap semua kaum di Malaysia.

Masa depan ekonomi negara juga diyakini akan bertambah baik dan ini tentulah akan dapat mengekalkan keharmonian di antara kaum. Hasil kajian ini membuktikan bahawa majoriti menyatakan keadaan ekonomi semakin baik jika perpaduan terjalin antara masyarakat di Malaysia. Berdasarkan sejarah dan pengalaman negara ini, masalah ekonomi dapat memberi kesan terutama kewujudan jurang antara kaum dan ini jika tidak dibendung akan dapat mencetus rasa cemburu sehingga membawa kepada permusuhan antara kaum.

Pada hari ini, kita melihat orang Cina menjual asam laksa dan nasi lemak, manakala orang Melayu memakan mi, kueh tiaw, yong tau foo, roti nan, capati dan tosai. Demikian pula orang India makan apa saja yang dimakan oleh rakan mereka dalam kalangan Melayu dan Cina.

Nasi lemak adalah contoh makanan orang Melayu yg dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dan ia patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut dipelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel. Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan seperti kari ayam, rendang (ayam dan daging), sambal (sotong kering atau ikan bilis), ayam goreng dan paru goreng.

Putu mayam ialah sejenis makanan manis yang selalunya dimakan ketika sarapan pagi ataupun sebagai snek. Putu mayam diperbuat daripada adunan tepung beras yang dicampur dengan air dan santan kelapa yang kemudiannya ditekan ke penyaring untuk menjadikannya seperti mi halus. Selepas itu, ia akan dikukus dengan perahan air daun untuk dijadikan sebagai perasa. Setelah siap, mi itu akan dihidangkan bersama-sama parutan kelapa dan gula Melaka. Putu mayam adalah contoh makanan masyarakat India yang juga digemari oleh semua kaum di Malaysia.

Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap soya) cendawan, bunga lily, biji-bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negera China seperti yong tau foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain. Masakan ini telah diminati semenjak abad ke-18. Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat Malaysia. Nasi ayam dihidangkan bersama ayam goreng, ayam panggang atau ayam kukus. Bagi orang Melayu mereka lebih meminati ayam yang bergoreng atau dipanggang dan kaum Cina memilih yang dikukus. Minuman iringan bagi kaum Cina ialah teh Cina dan manisan kegemaran mereka ialah buah-buahan segar dan manisan berasaskan kekacang.

Perayaan besar disambut bersama dengan menghidangkan makanan pelbagai kaum. Hakikatnya jelas, dengan hanya makan, kita boleh menggerakkan sesuatu kaum atau bangsa semakin dekat dalam perhubungan walaupun hanya sekadar beberapa inci. Semua ini terhasil daripada jalan awal yang inginkan keharmonian dan perpaduan di negara ini. Semua ini akan terus menjadi ikon yang menjadi identiti sebuah masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Ikon yang menjadi identiti sebuah bangsa Malaysia yang aman dan harmoni.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini dijalankan melalui pemerhatian, kajian soal selidik, dokumentasi dan temu bual.

3.1 Reka Bentuk Kajian

Aspek-aspek yang diguna pakai dalam kajian ini antaranya ialah pendekatan kajian, kaedah persampelan, cara pengumpulan data, teknik memproses dan menganalisis data dan penulisan laporan. Reka bentuk kajian kuantitatif yang digunakan dalam kajian ini ialah tinjauan (survey). Dalam kajian ini, tinjauan dibuat di sekitar kawasan Melaka untuk mendapatkan pandangan penduduk tentang hal-hal berkaitan dengan perpaduan kaum melalui makanan tradisi.

Manakala reka bentuk kajian kualitatif yang digunakan ialah kajian etnografi dan kajian sejarah. Dalam kajian kes, kajian etnografi digunakan bagi mengkaji ciri-ciri makanan tradisi dalam kalangan penduduk di Melaka. Kajian sejarah pula digunakan bagi mengkaji rekod dan penulisan lampau antaranya dapatan daripada jurnal untuk dikaitkan dalam kajian perpaduan melalui makanan tradisi.

3.2 Sampel Kajian

Ketika melakukan survey (tinjauan) borang kaji selidik telah diedarkan. Sampel terdiri daripada responden di sekitar Melaka. Seramai 30 orang pelbagai bangsa telah dipilih secara rawak bagi menjalankan tinjauan ini. Setiap kaum dari Melayu, Cina dan India dipilih seramai sembilan orang manakala tiga orang dari lain-lain kaum.

3.3 Instrumen Kajian

Instrumen utama kajian ini ialah soal selidik di mana kami telah mengedarkan borang kaji selidik kepada penduduk sekitar Melaka. Instrumen kajian kualitatif pula ialah soalan temu bual tidak berstruktur. Data-data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan SPSS.

4.0 HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Bahagian ini membincangkan keseluruhan hasil kajian yang dijalankan. Selain itu, rumusan akan dibuat mengenai pengaruh makanan tradisi sesuatu kaum dalam perpaduan rakyat Malaysia.

Taburan Jadual 1 di atas, menunjukan kekerapan pengambilan makanan tradisi lain dalam semingu. Taburan ini menunjukan bahawa jumlah responden tertinggi ialah tiga hingga lima kali seminggu dalam pengambilan makanan kaum lain. Untuk kekerapan sekali hingga dua pula menunjukan hanya tiga responden sahaja. Responden yang mengakui amat kerap menjadikan makanan tradisi kaum lain sebagai menu pilahan mereka pula ialah enam responden.

Berdasarkan Rajah 1 di atas, dapat dilihat nasi lemak menjadi pilihan tertinggi dalam kaji selidik ini. Nasi lemak menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Char kuey teow pula mencatatkan enam pilihan berbanding kari hanya empat responden yang memilih makanan tradisi India tersebut. Hanya tiga responden memilih yong tau fu diikuti putu mayam dan kuih bahulu yang menjadi pilihan dua responden setiap satu.

Berdasarkan Rajah 2 di bawah, sebanyak 80% responden sangat setuju dengan pendapat kajian yang menyatakan makanan tradisi kaum mempengaruhi hidup mereka. 15% pula hanya menyatakan yang mereka bersetuju dengan pendapat sedemikian. Selain itu, hanya 5% sahaja yang tidak bersetuju.

Pengkaji membuat perbincangan berdasarkan kepada borang kaji selidik yang telah diproses, iaitu bahagian A dan B. Bahagian A merupakan latar belakang responden seperti jantina, bangsa, tempat tinggal, umur dan pekerjaan. Bahagian B pula merupakan soalan yang berkaitan dengan kaji selidik. Soalan ini ditanya untuk mengukuhkan objektif kajian dimana makanan tradisi kaum boleh membentuk perpaduan bangsa. Selain itu, tujuan lain kajian ini adalah untuk memperkenalkan makanan tradisi kaum lain kepada masyarakat lain.

Hasil kajian menunjukkan tidak kira latar belakang mereka siapa dan dari mana asal mereka, responden memberi respon yang baik untuk setiap makanan tradisi kaum lain. Ini menunjukkan bahawa masyarakat di Melaka ini mempunyai pengetahuan tentang makanan tradisi kaum lain. Selain itu, dalam kehidupan harian, kita dapat melihat makanan tradisi sesuatu kaum ini bukan hanya boleh dimasak oleh kaum sendiri sahaja tetapi oleh bangsa lain juga. Sebagai contoh, nasi lemak juga dimasak dan disediakan oleh orang India dan roti canai juga dibuat oleh orang Melayu dalam perniagaan warung mereka.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, pola pengambilan responden terhadap makanan tradisi kaum lain amat kerap iaitu di antara tiga hingga lima kali seminggu. Ini memberi respon positif bahawa masyarakat di Melaka ini boleh menerima makanan tradisi kaum lain. Di samping itu, ramai yang mengakui yang pengambilan makanan tradisi kaum juga mempengaruhi hidup mereka. Ini bermakna, apabila mereka menyukai sesuatu makanan tradisi kaum lain, mereka akan berusaha untuk mempejari atau mengetahui cara penyediaannya.

Hasil daripada kaji selidik yang dijalankan juga, boleh dilihat yang pengambilan makanan tradisi kaum lain amat mempengaruhi perpaduan antara masyarakat di sini. Hampir semua responden (80%) bersetuju bahawa perpaduan boleh terbentuk melalui pengambilan makana tradisi kaum lain. Mereka memberi pandangan bahawa makanan tradisi kaum amatlah penting didalam kehidupan sesuatu kaum. Selain itu, amalan penyediaan dan memasarkan makanan tradisi ini perlu dikekalak agar ia tidak dilupakan oleh generasi sekarang dan yang akan datang. Antara pandangan lain pula, makanan tradisi sememangnya dapat diterima oleh semua golongan masyarakat. Hal ini disebabkan penyediaan makanan tradisi kaum agak mudah dan ringkas sahaja.

Berdasarkan kajian, nasi lemak menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Char kuey teow pula mencatatkan enam pilihan berbanding kari hanya empat responden yang memilih makanan tradisi India tersebut. Hanya tiga responden memilih yong tau fu diikuti putu mayam dan kuih bahulu yang menjadi pilihan dua responden setiap satu. Ini menunjukkan bahawa responden tidak memilih makanan untuk dimakan dan mereka mengenali makanan yang dipilih dengan baik.

5.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhan, dapat dirumuskan bahawa makanan tradisi sesuatu kaum dapat membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Melaka ini. Masyarakat dapat mengenali dengan lebih mendalam makanan yang terkenal antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India selain mengetahui keunikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut di mana makanan tradisi ini pula mempunyai keunikan yang tersendiri yang mampu menarik kaum lain untuk merasa. Selain itu, berdasarkan kajian mengenai makanan pelbagai bangsa ini turut menyumbang kepada tahap pemahaman dan perpaduan kaum di Melaka melalui makanan. Mereka lebih memahami dan mengetahui pelbagai variasi makanan kaum di Melaka dengan melihat kajian kaji selidik. Kesimpulan yang didapati dalam kajian ini mencerminkan bahawa tahap perpaduan mengikut makanan setiap kaum masih di tahap yang memuaskan. Oleh itu, makanan juga dapat memainkan peranan dan semangat perpaduan di kalangan kaum.

Berdasarkan kajian, menunjukkan bahawa kajian terhadap perpaduan kaum terhadap makanan membawa kepada perkara positif. Dimana dapat dibuktikan melalui analisis data dan borang kaji selidik. Oleh itu, pendedahan mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia perlu dikaji dan diperkemas supaya masyarakat di Malaysia mengetahui tentang makanan dan tidak melupakan makanan-makanana tradisi masyarakat yang ada di Malaysia. Kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan membuat kempen dan pesta makanan malaysia yang dapat membantu masyarakat lebih mengenali makanan pelbagai kaum ini. Makanan masyarakat di Malaysia juga bukan sahaja boleh diperkenal di peringkattempatan malah perlu di luar negara supaya masyarakat membuka mata dan merasa bangga dengan kepelbagaian makanan yang dapat mengeratkan perpaduan antara kaum.
 Rujukan

Noor Risma Salfina Muhammad Rozali, Sulaiman Zakaria. (2006). Membanteras vandalism: siri tangunggjawab sosial. Kuala Lumpur: Pintar Firus.

Haliza Jelani. Kepentingan Perpaduan Kaum, diakses dari http://psksksd.blogspot.com/2010/07/kepentingan-perpaduan-kaum.html

LvBala. Makanan Malaysia Lambang Perpaduan, diakses dari http://lvbala.blogspot.com/2008/11/makanan-malaysia-lambang-perpaduan.html

Zahir Zainudin, Ernifarha Ab Rahim, Cheristina Anak Lily, Nur Husyani Mohd Hussein, Murnie Shakilla Shidan, Siti Noratika Othman

 

 

Blog <b>Makanan Pahang</b>: Gambar <b>makanan tradisional</b> - Blog <b>...</b>

Posted: 06 Feb 2014 03:06 AM PST

Oleh Manja Ismail
Hakikat bahawa industri pelancongan sebagai satu daripada sumber utama pendapatan negara memang diakui semua pihak. Justeru, dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu sekarang, ramai berharap Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang dirasmikan dengan penuh warna warni malam kelmarin, mampu menampung kekurangan dalam sektor lain ekonomi negara tahun ini. 

TMM 2014 bertemakan Celebrating 1Malaysia Truly Asia menyasarkan pendapatan RM76 bilion menerusi kunjungan kira-kira 28 juta pelancong tahun ini. Kerajaan menetapkan sasaran menerima kunjungan 36 juta pelancong dan menjana pendapatan RM168 bilion daripada sektor pelancongan pada 2020. 

Sementara kita boleh berbangga dengan pelbagai tarikan yang ada di negara ini untuk menarik pelancong asing, harus diingat beberapa negara jiran juga turut mempunyai keistimewaan serupa, malah sesetengahnya lebih baik dan sudah lama dikenali di seluruh dunia. 

Walaupun kita berasakan mempunyai pantai dan pulau yang indah, Thailand dan Indonesia juga turut menjadi destinasi pelancongan kerana kedua-dua tarikan itu. Malaysia mungkin mempunyai Langkawi atau Tioman, tetapi Bali, Phuket atau Pattaya lebih popular terutama di kalangan pelancong berkulit putih. 

Kita juga tidak boleh mendakwa Kuala Lumpur sebagai satu-satunya syurga membeli-belah di rantau ini apabila pelancong asing lebih suka berbelanja untuk mendapatkan fesyen terbaru di Singapura atau Hong Kong. 

Kepelbagaian budaya, aneka makanan 

Keistimewaan sebenar Malaysia dalam bidang pelancongan yang tidak ada di kalangan negara jiran ialah kepelbagaian budaya dan aneka makanan daripada rakyat berbilang kaum. Dengan tiga kaum terbesar dan lebih 30 etnik Bumiputera di Sabah dan Sarawak, kita bukan saja mempunyai warisan budaya yang menarik, tetapi pelbagai jenis makanan dan sajian. 
Daripada nasi lemak, roti canai, yong tau fu dan nasi kandar, sehinggalah kepada pelbagai makanan tradisional penduduk atau negeri tertentu seperti masakan nyonya, makanan dari Kelantan, Terengganu dan Sarawak, Malaysia layak digelar syurga makanan. Itu belum termasuk pelbagai jenis makanan antarabangsa yang mudah dan murah di bandar besar negara ini. 

Di sinilah letaknya tanggungjawab pengusaha makanan atau restoran dalam mengutamakan dua perkara – kebersihan dan layanan - yang menentukan sama ada pelancong bukan saja datang semula ke tempat mereka, tetapi mungkin datang lagi ke Malaysia. 

Dua perkara ini mungkin kelihatan remeh, tetapi kepada sesiapa yang pernah melancong ke luar negara terutama negara dunia ketiga, ia menjadi antara soalan utama diajukan oleh keluarga dan rakan apabila pulang ke tanah air nanti. 

Soal kebersihan tidak seharusnya tertumpu kepada penyediaan dan sajian makanan semata-mata, tetapi juga membabitkan persekitaran terutama tandas. Jika keadaan tandas di stesen minyak dan restoran mamak boleh dijadikan ukuran, kita khuatir ia boleh memberi gambaran buruk kepada pelancong asing mengenai tahap kebersihan rakyat negara ini. 

Begitu juga dari segi layanan di restoran dan hotel, kita masih ketinggalan berbanding senyuman dan keramahan pelayan restoran/hotel di Thailand dan Indonesia walaupun bahasa Inggeris mereka mungkin tidak sefasih pekerja hotel/restoran kita. 

Tidak kurang pentingnya ialah pekerja sektor pengangkutan awam terutama pemandu teksi, orang pertama ditemui pelancong apabila memasuki negara ini. Pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pemandu teksi dilaporkan bersikap kasar atau menipu pelancong kerana perbuatan itu boleh menjejaskan industri pelancongan negara. 

Ikhlas layan pelancong 

Bahawa kita pernah melancarkan kempen 'senyum' di kalangan pekerja industri pelancongan dan pengangkutan awam satu ketika dulu membuktikan perkara ini. Kita tidak mengharapkan mereka senyum sepanjang masa, tetapi layanan kepada pelanggan atau pelancong biarlah menampakkan keikhlasan, bukan kerana terpaksa. 

Dalam keghairahan kita menjayakan TMM 2014, janganlah pula kepentingan rakyat sendiri diketepikan. Selain pekerja industri ini seharusnya memberi layanan serupa kepada rakyat tempatan dan pelancong asing, kita juga mahu hanya pelancong sebenar datang ke Malaysia sepanjang kempen ini. 

Ketika pelbagai masalah ditimbulkan oleh kebanjiran jutaan pendatang asing sekarang, kita pasti tidak mahu ada kalangan yang mengambil kesempatan daripada TMM 2014 untuk membawa masuk rakyat dari negara tertentu atas nama pelancongan tetapi bekerja atau melakukan kegiatan haram di negara ini.

No comments:

Post a Comment